Cikgu Eyda ~Ibu~




Wanita yang tinggi lampai ini memang terkenal dengan sifat ramah dan mesra dengan sesiapa sekalipun.  Dalam kalangan pelajar Puan Siti Zurhaida atau lebih mesra dipanggil Cikgu Eyda adalah seorang guru yang agak tegas dan begitu komited terhadap tugasnya sebagai seorang guru. Beliau kelulusan Bacelor Sastera ( Pengkhususan Bahasa dan Linguistik Melayu) dan Kewartawanan daripada Universiti Putra Malaysia pernah bercita-cita untuk menjadi seorang Wartawan Penyiaran, namun perancangan Allah itu lebih baik dan sehingga kini beliau sudahpun berkhidmat selama hamper 11 tahun dalam bidang pendidikan.

Ibu kepada tiga puteri ini sangat bersyukur kerana Allah memberi rezeki kepadanya sebuah keluarga yang bahagia.  Kehadiran suami  dan anak –anak yang comel ini memberi seribu sinar baharu dalam hidupnya tambahan lagi dengan puteri yang ketiga yang berumur setahun 10 bulan.  

*****************************

Apabila ditanya tentang pengalaman manis selama 8 tahun berkhidmat di MRSM Transkrian, sambil tersenyum beliau menyatakan bahawa di MRSM Transrianlah beliau banyak menimba pengalaman yang berwarna –warni dan menjadikan bidang pendidikan yang diceburinya semakin menarik dan mencabar.                                       

*********************************************

“Asalkan kita suka, ikhlas kerana Allah,

Allah akan bantu kita”.        

Motto yang ringkas dan mudah inilah yang menjadi prinsip hidup beliau menjadikan beliau seorang guru yang disenangi oleh rakan-rakan seperjuangan dan pelajarnya.

 





 Pena Kreatif :

Bahagia Yang Mahal

Bahagia itu milik sesiapapun,
Aku, dia atau kamu,
Beta atau hamba,
Kita atau mereka,
Sama rasa.

Alam direntas waktu,
Mengherdik maya cinta,                                             
Rajuk bahagia menjadi racun,
Pasir jalanan menjadi intan,
Mahal tiada kepalang.

Andai  aku bisa,
Bahagikan tawa ini,
Agar jagat raya mengerti
Bintang dilangit
Tidak padam kerdipannya.
Siti Zurhaida Syed Ali
@SZSA
MRSM TRANSKRIAN
2013


Saat Rinduku

Dalam kelam
senyumku dijemput resah
renget manjamu tarian nafasku
mata bundarmu umpama kejora
di dada langit jingga.

Dalam lena
tawamu mengagah
jemari halusmu mencuit mimpi
panas nafasmu
ku dakap tulus.

Hadirlah
dalam mimpi syahduku
biar denyut nadi ini
terus menari tarian kasihku.

Hadirlah
dalam lenaku
biar alir darah ini
terus melagukan syair cintaku.

Siti Zurhaida Syed Ali
@SZSA
MRSM TRANSKRIAN
2013

Amarah Kota

Mata terpaku
memanah ruang yang cemar
di tembok pinggir kota.
Deruan membingit
meraung sakit
meredah jiwa yang sarat
menjerang merah api amarah.
Ketika senja mengintai maya
debu jingga kian meratah ego manusia
meronta menghambat masa.

Aku merenung
jiwa resah seisi jagat raya
entah bila berakhirnya kisah
amarah kota.

Aku beruntung
aku hanya penonton sementara
kisah mereka
di pinggi kota ini.
Siti Zurhaida Syed Ali
@SZSA
MRSM TRANSKRIAN
2013

Izinkan Aku Berkarya

Siang
izinkan aku berpuisi
menghunus mata pena
di dada kabus biru
menjadi ukiran malar
biar angin melonta damainya jiwa.
Malam
izinkan aku bersyair
meliuk-liuk alunan jemari
mendendangkan lara
biar api beku di kali.
Ya Rabb
limpahkanlah aku ilham
agar karya cintaku
bisa bersatu dengan alam
kerna isi dunia sedang kehausan
lautan Agung-MU.

Siti Zurhaida Syed Ali
@SZSA
MRSM TRANSKRIAN
2013

BASIKAL LAMA.

Di bawah tangga rumah
Ada basikal lama
menyimpan seribu bunga keringat
menyimpan seribu cerita kasih
yang berlari bersama usiamu.
Maafkan aku
kerana dewasa dengan memerah sabarmu.
terik yang membakar kulit
adalah nadi penyambung tugasmu
membesarkan aku menjadi insan.
biar saban hari
urat tua kian menjalar
kau gagah mengayuh amanah suci
tidak kutemui

keluh kesah yang terkunci
di sebalik basikal tuamu.
cintamu tidak bisa ku bayar
walau selangit mutiara kuhamparkan
walau selautan intan kulimpahkan.

Siti Zurhaida Syed Ali
@SZSA
MRSM TRANSKRIAN
2013


1 comment:

  1. asslammualaikum... cikgu zuraida pernah mengajar di smk tunku abdul rahman?

    ReplyDelete